Tuesday, 30 November 2010

Bermain dengan fondant icing.

Suka. Teringat zaman tadika. Seperti bermain dengan tanah liat. Membentuk pelbagai objek. Kemudian membandingkan dengan kawan-kawan.
Patutlah ramai penjual kek lebih suka membuat fondant icing berbanding icing-icing yang lain. Ia mudah dibentuk mengikut kehendak pelanggan. Disamping kreativiti penjual.
Ini adalah permulaan. Bagi sesiapa yang ingin menempah cup cake fondant icing ini bolehlah menentukan deko mengikut tema majlis. Namun, kami akan membuat mengikut daya kemahiran minimum yang dimiliki.
Secara jujurnya. Fondant icing ini hanya cantik dilihat. Kurang enak dimakan terutama bagi yang kurang suka makanan manis seperti kami..hehe. Namun kehendak dan kesukaan setiap manusia tidaklah sama. Manusia sememangnya tercipta dengan pelbagai rupa, bentuk, kemahiran dan minat.
Selamat bercuti sekolah buat yang bersekolah.
Selamat berkenduri-kendara buat yang mengadakan walimatul urus.
Selamat menempah cup cakes untuk dijadikan hantaran dan cenderahati tetamu.

Friday, 19 November 2010

Order dari UUM Sintok.

Cupcakes kali ini disiapkan sehari selepas Husna mengambil tempahannya. Ditempah oleh Song, seorang ayah kepada pelajar UUM Sintok seminggu sebelum ini. Mengikut katanya tempahan sempena jamuan di kolej anaknya.

Cupcakes coklat bersalut coklat topping sebanyak 50 pcs. Bersama cupcakes topping coklat + krim juga sebanyak 50 pcs.
Alhamdulillah rezeki di musim cuti persekolahan. Semuanya dari Allah. Kepada-Nyalah kita perlu memanjatkan kesyukuran.
Nantikan page Comel Homemade Cupcake di facebook. InsyAllah. Memudahkan untuk berinteraksi dengan para pelanggan.
Sekian. Terima kasih semua.

Wednesday, 17 November 2010

Pengorbanan di hari raya pertama ;-)

Cuti sekolah bermula. Maka Comel Homemade Cupcake mula menyiapkan beberapa tempahan yang diterima sejak dari awal untuk beberapa majlis sepanjang cuti sekolah akhir tahun ini.

Cupcakes kali ini ditempah oleh Husna. Sahabat lama satu universiti Kak Ngah. Juga merangkap teman sebilik. Mulanya Husna hendak menempah vanila cupcakes untuk hari kantin di sekolahnya. Namun setelah melihat cupcakes yang siap di deco di atas meja. Dia tertarik hati lalu menempah 16 biji cupcakes icing untuk dihadiahkan sempena majlis pertunangan saudaranya. Disamping 50 biji vanila cupcakes coklat marble dan 50 biji vanila cupcakes marble strawberi.

Deco bebas. Maka dapat dideco tanpa tema dan warna tertentu. Namun masih bersesuaian dengan majlis pertunangan.
Inilah pengorbanan kami sekeluarga sempena Hari Raya Korban pada tahun ini. Berkorban masa di hari raya pertama Aidil Adha menyiapkan tempahan pelanggan yang akan diambil pada hari raya kedua..hehe..
Terima Kasih Husna. Ada majlis nanti, silalah tempah lagi.

Saturday, 13 November 2010

Makluman terkini.

Pengumuman untuk semua. Semenjak abah kembali ke rahmatullah, sebarang penghantaran kek dan cupcake tidak berlaku. Maka dengan ini bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan perlu datang sendiri ke rumah untuk mengambilnya di alamat seperti yang tertera di bawah blog ini.

Bagi mendapat makluman segera untuk pertanyaan dan tempahan. Sila telefon ke salah satu nombor seperti yang tertera di atas blog ini. Harga boleh dirunding dan dikurangkan jika membuat banyak tempahan. Tempahan yang banyak boleh dibuat sekurang-kurangnya seminggu awal bagi memudahkan kami membeli bahan mentah. Jika tempahan sedikit boleh dibuat sekurang-kurangnya 3 hari sebelum kek diambil.

Segala kekurangan dan perubahan harap dimaafkan. Ini kerana kami hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan sambilan di rumah. Segala perubahan akan diberitahu dari masa ke semasa.

Harap maklum.

Tuesday, 19 October 2010

Besday cupcake..

Mencuri masa sebentar dari kesibukan kerja yang tidak pernah usai selagi nyawa masih ada. Seorang lelaki India telah menempah cupcake hari lahir untuk dihadiahkan kepada..( tidak tahu..hehe )

Cupcake yang ditempah sehari sebelum tarikh diambil itu telah disiapkan pada malam sebelumnya. Mak telah designkan dengan corak yang simple tetapi sedap juga mata memandang. Seperti biasa Kak Long dan Kak Ngah adalah pengkritik. Sibuk suruh menambah dan mengurangkan mana-mana yang patut untuk mencantikkan lagi cupcake yang dihias. Sekaligus untuk memahirkan diri dalam bab menghiaskan cupcake ( maklumlah budak baru belajar ).

Kata mak," tak payah ambil kelas untuk tatarias cupcake ni pon takpa..belajar dari buku dan pengalaman."

Betullah juga kata mak. Selain ilmu yang didapati dari kelas. Pengalaman juga adalah guru dan ilmu yang amat bernilai.

Agak terlambat. Namun belum terlewat. Akan menyediakan cupcake fondant atas permintaan ramai.

Tuuuuuuuuuuuuuunggggggggguuuuuuuuuuuuu..kehadirannya. InsyAllah.


Sunday, 1 August 2010

Rezeki selepas abah tiada..

Memang terlalu lama blog ini tidak diupdatekan. 2010 di blog ini masih belum dicatatkan sebarang aktiviti bisnes keluarga kami. Sedar tak sedar 2010 sudah melebihi hampir separuh masanya berlalu. Cepat benar masa berjalan.

Sepanjang tahun ini banyak juga tempahan yang diterima. Cupcakes ketika cuti persekolahan. Manakala kek besar tidak kira saban waktu. Pelanggan-pelanggan yang biasa merasai kek mak pasti akan menempah beberapa kali lagi dijadikan sebagai hadiah kepada saudara-mara, teman dan dijamah sendiri.

Akibat keterbatasan waktu maka banyak jenis kek yang tidak sempat diambil gambar dan diuploadkan di blog ini. Gambar-gambar ini adalah sebahagian sahaja tempahan yang sempat di siapkan untuk pelanggan. Gambar di atas adalah cupcakes vanilla yang ditempah oleh seorang guru PRA untuk dijamu kepada anak-anak muridnya. Decoration simple dan sukahati. Itu permintaannya. Sesuai dengan kanak-kanak. Manakala dua gambar di bawah ditempah oleh pelanggan yang hendak menyambut ulangtahun anaknya. Decoration yang dipinta juga simple dan ikut suka.

Ada yang bertanya dalam blog peribadi Kak Long samada kami masih menerima tempahan kek. Barangkali kerana sudah terlalu lama blog ini tidak update. Comel homemade cupcake masih menerima tempahan untuk sebarang majlis walaupun tanpa abah di sisi. Selepas abah pergi meninggalkan kami sejak 19 Jun 2010 akibat barah hati, mak masih mahu meneruskan minat dan bisnesnya ini. Salah satu sebabnya adalah untuk menggelakkan kesunyian tanpa abah. Kami sebagai anak tetap menyokong minat dan bisnes mak ini. Malah selepas abah pergi berturut-turut juga mak menerima tempahan. Alhamdulillah rezeki. Hikmah pemergian abah sudah tersingkap sedikit demi sedikit.
Sekarang kami ada projek terbaru setelah ditanya oleh seorang pelanggan. Projek membuat coklat pelbagai jenis rasa dan bentuk untuk hantaran dan cenderahati kepada tetamu. Gambar-gambar akan dikumpul dahulu dan diuploadkan di sini tidak lama lagi. Tungggggguuuuuuuu. InsyAllah.

Semoga segala niat, amalan dan butir percakapan kita mendapat nilai yang tinggi di sisi Allah Taala. Amin :-)

Thursday, 24 December 2009

Rezeki cuti..

Sudah lama blog ini tidak diupdatekan atas kekangan masa. Namun syukur ke hadrat Ilahi kerana bisnes ini telah mendapat sambutan pada cuti persekolahan ini. Pada kali ini kami sekeluarga tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan cupcake dan kek untuk majlis perkahwinan, pertunangan, kenduri akikah dan doa selamat.

Kek coklat di atas ditempah oleh Faiz iaitu sepupu pada malam semalam. Kek coklat ini adalah antara kek yang telah lama dijual oleh mak. Kemungkinan dalam 10-12 tahun yang lepas. Namun bisnes terhenti kerana mak mengandungkan adik. Di samping perlu menjaga arwah Mak Teh yang menghidap barah hati. Semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Hanya DIA lebih mengetahui.

Pada minggu ini sahaja pelanggan lama ( cina tokey farmasi di Bakar Arang ) telah menempah 5 biji kek coklat, 3 biji kek marble da 5 biji kek masam manis kukus sempena Krismas untuk dijadikan hadiah kepada rakan-rakannya.

Cupcake coklat dengan butter cream ini telah ditempah oleh saudari Ayu yang tinggal di Taman Berlian. Cupcake ini sempena hantaran untuk majlis pertunangannya pada hari ini. Di samping 200 biji cupcake coklat untuk para tetamu. Tempahan ini telah selamat dihantar pada petang kelmarin.

Biskut Heart ini dibuat untuk hantaran perkahwinan sepupu pada 12 Disember lalu. Resepi yang dijumpai dalam satu laman masakan. Mudah disediakan dan cantik hasilnya. Namun acuannya agak mahal yang dibeli di kedai kek Sayang.

Ini satu lagi hantaran yang kami sponsor untuk sepupu. Asalnya hendak membuat krim berwarna ungu tetapi jadi biru pula. Entah kenapa pewarna ungu yang dibeli berubah menjadi biru. Namun sesuai juga dengan pakaian pengantin yang berwarna silver.

Cupcake coklat yang ditempah oleh sahabat yang kursus satu institut ( IPDA ) dengan Kak Long. Ini adalah tempahan yang paling banyak iaitu 1800 biji. Akibat mendapat tempahan banyak sebeginilah maka oven lebih besar dibeli untuk menampung tempahan agar dapat siap pada masa yang dijanjikan.
Ini juga adalah tempahan Sarah. Sarah telah menempah 900 biji cupcake vanila dan 900 cupcake coklat. Sarah sendiri yang membeli kotak dan plastik di atas. Kami sekadar packing sahaja.
Sebenarnya banyak lagi tempahan yang telah disiapkan. Kebanyakannya adalah vanila cupcake untuk perkahwinan. Sekali lagi syukur kepada Ilahi.
Sekadar ini sahaja dapat menulis pada kali ini. Adik-adik merungut lapar pula. Hendak ke dapur untuk membuat makaroni bakar. Cadang untuk membuat pada petang ini. Kanak-kanaklah katakan. Jika dijanji tidak sabar hendak ia menjadi kenyataan.
Salam semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...